PROGRAM DERMA DARAH BN SHIPYARD

 

PROGRAM DERMA DARAH BN SHIPYARD

PDDBNS1  PDDBNS2

        PDDBNS3  RBS3lbpkpm4PDDBNS4

14 Ogos 2018 - Program Derma Darah anjuran Hospital Seri Manjung dengan kerjasama Boustead Naval Shipyard telah diadakan di ruang legar Bangunan 102.  Perlaksanaan program ini adalah untuk membantu menampung keperluan bekalan tabung darah hospital tersebut.

Penganjuran Program Derma Darah di premis Boustead Naval Shipyard bertujuan memberi peluang kepada kakitangan syarikat untuk menjalankan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat.  Selain itu, syarikat juga menggalakkan kakitangan untuk menyertai program seumpama ini di luar bagi mewujudkan warga kerja yang prihatin.

Seramai 100 orang telah mendaftarkan diri untuk menderma darah.  Namun setelah menjalani saringan kesihatan, hanya 67 orang penderma yang berjaya untuk mendermakan darah mereka.  Para penderma terdiri daripada kakitangan syarikat, pelatih industri dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia.

PROGRAM IBADAH KORBAN & AKIKAH 2018 BAKIN

 

PROGRAM IBADAH KORBAN & AKIKAH 2018 BAKIN

PIKABAKIN1  PIKABAKIN2

        PIKABAKIN3  RBS3lbpkpm4PIKABAKIN4

24 Ogos 2018 - Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1439H, Badan Kebajikan Islam Boustead Naval Shipyard (BAKIN) telah menganjurkan Program Ibadah Korban & Akikah 2018 bertempat di pekarangan Surau Diri Jumaat Boustead Naval Shipyard.  Program diadakan bertujuan untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah dalam agama Islam.

Ibadah korban dan akikah yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini dilaksanakan secara gotong-royong oleh ahli-ahli BAKIN.  Sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dalam program ini.

Selepas selesai menyembelih,melapah dan memotong daging korban, ahli-ahli BAKIN seterusnya mula menyediakan bahan-bahan masakan untuk memasak hidangan jamuan makan tengah hari.

Pada pukul 12.00 tengah hari, kakitangan mula datang ke surau untuk menikmati jamuan makan tengah hari yang telah disediakan.  Daging korban yang diperoleh daripada program ini kemudiannya diagihkan kepada peserta korban dan akikah serta para petugas.

TAKLIMAT KESELAMATAN KAKITANGAN BAHAGIAN SOKONGAN 3/2018

 

TAKLIMAT KESELAMATAN KAKITANGAN BAHAGIAN SOKONGAN 3/2018

tkkbs1  tkkbs2

        tkkbs3  RBS3lbpkpm4

11 Julai 2018 -Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE) & Sekuriti BN Shipyard telah mengadakan Taklimat Keselamatan kali ketiga bagi tahun 2018 kepada para kakitangan Bahagian Sokongan bertempat di hadapan bangunan 102.

Antara pengisian taklimat yang disampaikan oleh Encik Rosman Bin Haji Ramli, Ketua Unit Sekuriti ialah peringatan kehadiran pekerja ke tempat kerja pada pukul 8.00 pagi dan tidak menamatkan kerja sebelum pukul 5.30 petang. Beliau memberitahu bahawa ruang parkir di dalam kawasan premis hanya untuk kakitangan berjawatan pengurus dan ke atas dan untuk kakitangan yang mempunyai pas perubatan sahaja.  Beliau turut meminta kakitangan untuk menghantar e-mel kepada Ketua Unit Sekuriti sebelum membawa masuk kenderaan ke dalam limbungan bagi tujuan membawa barang.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan tentang beberapa perkara penting iaitu kakitangan hendaklah sentiasa memakai pakaian seragam yang dibekalkan oleh syarikat di tempat kerja, menghantar borang pembaharuan kad pas sebulan sebelum tamat tempoh dan memastikan setiap kenderaan kakitangan mempunyai pas kenderaan.  Selain itu, beliau turut menegaskan supaya mematuhi peraturan di jalan raya serta peraturan di dalam kawasan BN Shipyard kerana BN Shipyard merupakan kawasan berstatus sasaran penting. Akhir sekali beliau mengingatkan kepada kakitangan untuk tidak berada di kafeteria selepas jam 8.00 pagi kecuali waktu rehat tengah hari.

Seterusnya, Encik Muhammad Syazwan Bin Aziz, Ketua Unit HSE pula menyampaikan taklimat berkaitan tanggungjawab kakitangan terhadap kesihatan dan keselamatan diri.  Selain itu, beliau meminta kakitangan yang terlibat dengan kemalangan sama ada di dalam atau di luar premis untuk melaporkan kejadian kemalangan tersebut kepada pihak HSE untuk rekod dan tindakan selanjutnya.

MAJLIS BERBUKA PUASA BN SHIPYARD 2018

MAJLIS BERBUKA PUASA BN SHIPYARD 2018

MBPBS1  MBPBS2

        MBPBS3  MBPBS4

8 Jun 2018 - BN Shipyard telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa BN Shipyard 2018 di Surau Diri Jumaat BN Shipyard.  Majlis telah diserikan dengan kehadiran Pengarah Urusan BN Shipyard, Tan Sri Dato' Seri Ahmad Ramli Bin Hj. Mohd Nor; Pengarah Operasi BN Shipyard, Ir. Ee Teck Chee; Ketua-ketua Jabatan Syarikat dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis ini merupakan majlis tahunan yang diadakan bersempena kedatangan bulan Ramadan.  Majlis bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara pihak pengurusan Syarikat dengan kakitangan dan pelanggan Syarikat.

Antara pengisian majlis ialah moreh, solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat tarawih secara berjemaah.

TOWNHALL TALK 2018 BN SHIPYARD

TOWNHALL TALK 2018 BN SHIPYARD

TTBS1  TTBS2

        TTBS3  TTBS4

8 Jun 2018 - Majlis Townhall Talk 2018 bersama kakitangan Syarikat telah diadakan di pekarangan parkir kereta BN Shipyard dan dihadiri oleh Pengarah Urusan BN Shipyard, Tan Sri Dato' Seri Ahmad Ramli Bin Hj. Mohd Nor; Pengarah Operasi BN Shipyard, Ir. Ee Teck Chee; Ketua Pegawai Kewangan, Encik Ahmad Nordin Bin Mohammad; Pengarah Program LCS, Ir. Azhar Bin Jumaat dan Pengarah Program LMS, Ir. Hairutdin Bin Ayob.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Tan Sri Dato' Seri Ahmad Ramli Bin Hj. Mohd Nor dan diikuti dengan acara pemberian zakat syarikat kepada kakitangan yang layak.  Majlis diteruskan dengan acara simbolik penyampaian cenderahati untuk kakitangan yang disampaikan kepada Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja Boustead Naval Shipyard dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Boustead Penang Shipyard serta disusuli acara penyampaian sijil penghargaan dan baucer tunai bagi “Projek CI terbaik - Pencapaian Project CI bagi Penjimatan Kos Tertinggi sehingga April 2018”.

Sebaik sahaja majlis berakhir, Pengarah Urusan BN Shipyard telah berkesempatan untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama kakitangan eksekutif di Auditorium.